Thursday 29 September 2011

~ MENGATA DULANG PAKU SERPIH, MENGATA ORANG DIA YANG LEBIH

Assalamualaikum dan selamat hari Rabu semua,
sejak kebelakangan ni, begitu banyak perkara yang menjadi perbincangan mahupun perdebatan dikalangan masyarakat di tanahair tercinta. Semuanya demi mendapatkan jawapan mahupun penjelasan yang lebih terperinci untuk sesuatu isu ataupun kejadian. Tidak kurang juga aktiviti menyampaikan ketidakpuasan hati dalam pelbagai bentuk yang kadangkala agak kurang sesuai. Setiap kali kita menulis komplen ataupun menyatakan rasa tidak puas hati kita kepada pihak yang lain, dan pada ketika kita menulis itu kita sedang marah, sebaiknya kita tangguhkan terlebih dahulu penulisan kita itu, kerana penulisan itu akan lebih banyak berpanduan emosi daripada akal fikiran yang bijaksana itu.
Seringkali kita mendengar kata pujangga menyatakan, Seandainya kita menuding jari ke orang lain, 4 jari yang lain menuding ke arah kita. Banyak yang benar dalam ayat itu, setiap kali kita memarahi orang lain atas kelemahan ataupun kecuaian mereka, dalam situasi yang lain, kita sendiri melakukan kelemahan atau kecuaian tersebut. Jadi sebelum kita melemparkan kata-kata cercaan atau sebagainya hanya sebab kita tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara itu, berhenti sejenak, tanya diri kita sendiri, adakah aku tidak pernah melakukan perkara tersebut? Apabila kita berhenti dan berfikir sejenak, kebiasaannya setiap perlakuan negatif itu akan bertukar menjadi positif.
Aku sendiri kadangkala ingin melemparkan komen-komen negatif kepada segenap pihak, tetapi apabila difikirkan dalam sudut yang berlainan, komen-komen negatif aku itu tidak akan membuahkan apa-apa hasil, bahkan hanya akan menyebabkan diri ini yang terus berasa marah. Apabila kita marah, terlalu banyak unsur-unsur negatif yang akan meresapi diri ini. Setiap kata yang ditutur sudah tiada kelembutannya, tiada keindahan mahupun keseronokan untuk didengari. Kita bukan sahaja tidak membantu keadaan, malahan memberi kesan negatif kepada orang lain di persekitaran.
Seringkali kelihatan orang yang bijak pandai, tetapi apabila merasa diri dalam keadaan yang lemah, mula bertindak mengikut emosi, perbincangan yang pada asalnya berjalan dengan tenang, telah bertukakr menjadi perbalahan, hanya disebabkan emosi telah menguasai diri. Adalah lebih baik kita berdiam diri daripada ingin menegakkan pendirian kita yang belum pasti tepat, hubungan silaturahim sesama insan lain perlu dipelihara, jangan hanya kerana perkara yang remeh temeh, kita menjadi seperti insan yang tiada pegangan agama.
Pesanan ini adalah untuk diri aku sendiri dan sesiapa yang membaca, kehidupan kita dinilai setiap saat, tidak bermakna apabila kita berada di alam maya ini, setiap perbuatan kita tidak dinilai. Apabila kita menulis perkataan yang kesat, pasti ianya akan memberi penilaian yang buruk untuk kita. Seandainya kita tidak kisah jika dinilai oleh orang lain, tetapi ingatlah, Allah yang Maha Mengetahui itu sentiasa menilai setiap apa yang kita lakukan. Janganlah terlalu angkuh menuding jari menyatakan kesalahan orang lain, kerana diri kita sendiri belum tentu bebas daripada kesalahan tersebut.
Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment